Tuesday, October 21, 2008

TEKNOLOGI MARDI SEJAK AWAL TAHUN 1987 SEHINGGA KINI..


                       Oven Lemang Generasi Pertama Masih ada lg di stesen MARDI Kuching, Sarawak


PETIKAN DARIPADA ARTIKEL JABATAN FAMA.

Lemang beku ada potensi

Tarikh Diterbitkan: 27 November 2006

Oleh Norfaisal Jahuri

MAJESTIC Moha Food & Beverages (MMFB), syarikat makanan tradisional Bumiputera dari Melaka yakin dapat mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai pengeluar lemang beku yang pertama di pasaran tempatan, berdasarkan sambutan pengguna. Pengarah Urusan MMFB, Mohd Haidar Ahmad, berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan yang diterima ketika syarikat melakukan promosi pengenalan lemang itu di beberapa ekspo perdagangan dan makanan yang berlangsung di seluruh negara sebelum ini. Antaranya ketika berlangsungnya pameran perdagangan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka baru-baru ini di mana lemang beku keluaran syarikat menerima pertanyaan dan sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Katanya, walaupun ketika ini jumlah pengeluaran lemang bekunya masih kecil tetapi syarikat yakin dapat menghasilkan lebih daripada 1,000 batang lemang beku sehari berikutan termeterainya kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) baru-baru ini. Antara tujuan kerjasama dengan Mardi adalah untuk mendapatkan teknologi pembuatan lemang beku yang bermutu bagi menggalakkan jualan dan meningkatkan pengeluarannya supaya ciri-ciri keaslian lemang sebenar dapat dikekalkan. Justeru, kami membeli dua alat pembakar lemang segera yang dibangunkan oleh Mardi dikenali 'lemang ekspres' pada harga RM12,000 supaya dapat membakar lemang sebanyak 50 batang bersaiz satu kilogram dalam sejam saja. Malah dengan teknologi Mardi juga, kita akan dapat mengekalkan ciri keaslian lemang berkenaan seperti penggunaan daun pisang untuk membungkus lemang tanpa perlu ditanggalkan, katanya ketika ditemui di MITC, baru-baru ini. Mengenai perancangan jangka panjang, Mohd Haidar berkata, MMFB bercadang untuk meluaskan pasaran lemang beku ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) awal tahun depan. Katanya, langkah itu berikutan wujudnya permintaan daripada rakyat Malaysia yang menuntut dan bekerja di sana untuk mendapatkan makanan tradisional itu.